Majlis perasmian hotel yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya ini di Kompleks PB Square, Jalan Tengku Embong Fatimah di sini, disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang turut hadir, isterinya, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Barisan Exco Kerajaan negeri serta Pengerusi Paya Bunga Hotel, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Hotel setinggi 12 tingkat itu bermula tingkat enam hingga ke puncak bangunan yang ketika ini menempatkan 208 bilik itu mula beroperasi 1 Disember lalu sebagai tempoh promosi yang berakhir esok.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, buat masa ini hotel berkenaan dikategorikan hotel tiga bintang dan ia akan dinaiktaraf kepada empat bintang dengan kapasiti lebih 400 bilik bakal disediakan untuk orang ramai.

“Sebagaimana dinyatakan sebelum ini kita akan teruskan mana-mana projek yang dilaksanakan kerajaan dahulu sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat dan ini termasuk Paya Bunga Hotel ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu. Dr. Mohd. Khairudin pula berkata, dalam tempoh promosi bermula 1 Disember lalu, caj penginapan dikenakan dari RM75 hingga lebih RM200 dan bermula tahun baharu ini, caj dikenakan lebih RM200 hingga lebih RM2,000 satu malam.

Mengulas mengenai patuh syariah, beliau menjelaskan, amalan itu melibatkan semua aspek termasuk di segi perkhid­matan, layanan, pemakaian, pe­nampilan dan sebagainya.

“Begitu juga ketika berada di kolam renang hotel ini, tetamu lelaki dan wanita dikehendaki memakai pakaian menutup aurat tetapi mereka perlu tidak diasingkan,” jelasnya.