Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim berkata, produk ciptaan pelajar yang diangkat terbaik dalam pertandingan itu tidak harus disia-siakan begitu sahaja.

Katanya, sehingga kini sebanyak 350 produk inovasi telah dihasilkan sepanjang hampir 10 tahun SEM dilaksanakan.

“Kalau boleh kita bentuk satu jawatankuasa untuk menghimpunkan hasil ciptaan dan kemudian dipatenkan untuk pasaran.

“Kaedah ini dari segi undang-undang akan membantu melindungi produk cetusan idea pelajar dan pihak sekolah daripada dicuri pihak lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Pesta SEM 2018 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Matsor Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa SEM 2018, Mazlan Che Wil.

Pesta SEM kali ini disertai 25 sekolah dengan Anugerah Sekolah SEM Terbaik dimenangi Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin manakala Tokoh Guru SEM pula dinobatkan kepada Rohani Osman.

Kategori inovasi terbaik pula diraih Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu menerusi ciptaan ‘smart door’ di samping SMA Khariah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, SMK Bukit Sawa, SM Imtiaz YT Dungun dan SMK Padang Midin.

SMK Sultan Sulaiman dan SMK Bukit Sawa masing-masing meraih kemenangan berganda apabila pasukan mereka dipilih sebagai penyampai terbaik bersama dengan pasukan SMK Ajil.

Maliaman turut menyentuh cadangan untuk membuka penyertaan Pesta SEM tahun depan dalam kalangan sekolah harian berbanding ketika ini yang hanya melibatkan sekolah-sekolah elit, sekolah premier, sekolah Imtiaz, sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 

Katanya, pembaharuan itu dilihat amat positif susulan kecemerlangan yang ditonjolkan sekolah harian dalam bidang inovasi misalnya Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut muncul juara dunia dalam Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear yang diadakan di Gyeongju, Korea Selatan pada Mei lalu.

“Selain itu, dalam edisi akan datang kita akan himpunkan prototaip produk penyelidikan dan inovasi yang berjaya dalam SEM untuk dipamerkan di satu sudut yang secara tidak langsung boleh menyuntik motivasi buat pelajar lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE