Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pemantauan perlu dilakukan kerana masalah sedemikian boleh mengundang pelbagai risiko kepada pengguna yang membeli kad sim berkenaan.

“Hal ini berlaku kerana sikap kurang cakna ejen-ejen yang dilantik oleh syarikat telekomunikasi. Justeru pihak SKMM memandang serius perkara tersebut, dan kajian terperinci sedang dijalankan.

“Pengguna asal sudah meminta pembatalan nombor lama, namun kemudian pihak syarikat telekomunikasi akan menggunakan semula nombor sama sekali gus mendedahkan pengguna baharu kepada pelbagai risiko termasuk kecurian data dan klon maklumat.

"Sebaik sahaja laporan kajian diterima, pihak kementerian akan menangani isu berkaitan kad sim kitar semula," katanya kepada pemberita dalam Program ‘Kami Nak Sihat’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang hari ini. - UTUSAN ONLINE