Roslee Daud
Roslee Daud

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata, seramai 166 anggota Penguat Kuasa PPDNKK akan berusaha memastikan peniaga tidak menaikkan harga bagi 21 jenis barangan ke­perluan itu.

“Orang awam juga akan bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ membantu membuat pemantauan dan melaporkan untuk tindakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian melancarkan Kempen Keselamatan Makanan dan Nafas Baru Bermula Ramadan 2016 di Bazar Ramadan Paka, di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah PPDNKK negeri, Azlan Abdul Samad; Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan negeri, Che Ghani Sidek dan Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Dungun, Abdul Rashad Jusoh.

Beliau menegaskan peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlebihan boleh didenda RM100,000 dan penjara atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.

Dalam pada itu, Roslee berkata, sebanyak 655 notis amaran berkait dengan pelbagai kesalahan yang telah dikeluarkan ter­hadap peniaga di bazar Ramadan di seluruh negeri ini sehingga semalam.

“Kebanyakan mereka diberikan notis kerana tidak meletakkan tanda harga dan selepas ini tiada lagi kompromi dan mereka akan berdepan tindakan saman jika masih berdegil,” katanya.

Roslee bagaimanapun berpuas hati dengan aspek kebersihan yang diamalkan para peniaga di beberapa bazar ramadan di daerah ini sejak bermula Ramadan.

Beliau berharap pasukan penguat kuasa kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan pemantauan dan pemeriksaan terhadap peniaga.

Katanya, peniaga perlulah mematuhi etika dan peraturan pengendalian makanan supaya makanan disedia dan dijual kepada pengguna selamat serta bebas daripada pencemaran.