Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Batu Rakit, Kuala Nerus itu menerima anugerah tersebut berdasarkan kecemerlangannya mencapai sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 selain aktif dalam kokurikulum.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Kepujian) itu, sejak awal lagi beliau bertekad untuk tidak akan membebankan ibu bapa­nya dengan belajar bersungguh-sungguh agar berpeluang mendapatkan biasiswa dan bukan dalam bentuk pinjaman.

“Saya memang utamakan masa untuk belajar dengan tekun dan sejak mengikuti pe­ngajian peringkat asasi lagi, saya tak mahu bebankan bapa saya, Mohd. Yusup Musa yang menghidap sakit jantung.

“Jadi, saya mahu dapatkan bia­siswa dan bukannya pinjaman. Saya jadikan ia sebagai motivasi hingga berjaya. Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen UCB Kali ke-5 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini petang semalam.

Nor Nabila Shafeyra yang memasang cita-cita menjadi pakar motivasi suatu hari nanti berkata, selain akademik, beliau turut aktif dalam pelbagai persatuan selain sukan serta pemimpin majlis perwakilan pelajar di UCB.

Katanya, pada masa ini beliau bekerja sebagai pembantu akaun pentadbiran di Kuantan dan bercadang menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), seterusnya ke peringkat doktor falsafah (PhD) demi cita-citanya menjadi seorang pakar motivasi.

Tiga lagi graduan turut mene­rima anugerah graduan terbaik dan mereka ialah Nur Assyikin Abdul Rashid (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Nur Syakinah A. Rahim (Diploma Perakaunan) dan Akmal Adzimuddin Yunus (Asas Teknologi Maklumat).