Namun bagi mereka yang telah melewati usia 40-an dan tinggal di kampung-kampung, buah perah akan kembali mengingatkan mereka suasana kehidupan masa lalu dan juga tentang keenakan buah yang seakan makanan ringan seumpama kacang sambil bermain-main bersama kawan-kawan.

Sesiapa sahaja yang pernah menikmatinya dari pokok tinggi yang tumbuh meliar di kawasan hutan atau dipinggir kampung, pastinya terbayang keenakkan isinya yang pejal sama ada di rebus, jeruk atau bakar.

Bagi penduduk Kampung Pauh, di sini, musim buah perah gugur sekali setahun itu seakan satu pesta kecil untuk mereka berkumpul bersama-sama dan mengutip buahnya.

Salah seorang penduduk, Rohana Ahmad, 57, berkata, nostalgia mengutip buah perah sewaktu kecil sentiasa menggamit dirinya dan dia masih terus melakukannya walaupun sudah berusia.

“Seronok bila dapat bersama orang ramai, berlumba mengutip setiap kali buahnya meletup dan luruh bertaburan dalam suasana yang kecoh dan gembirakan apabila berebut-rebut mendapatkannya.

“Saya kutip sekadar suka-suka dan kadang-kadang kami makan dengan cara bakar menggunakan arang, rasanya lebih enak dimakan begitu,” ujarnya lagi ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Kampung Pauh.

Rohana berkata, terdapat lebih sepuluh batang pokok perah di tanah perkuburan tersebut yang dianggarkan berusia hampir 100 tahun dan sentiasa berbuah lebat malah menjadi salah satu punca rezeki kepada penduduk tempatan yang turut memasarkannya.

“Buah perah biasanya dijual RM5 bagi seratus biji dan ada yang mengikut mengikut timbangan kilo,” ujar Rohana.

Jelasnya, ada kepercayaan yang menyatakan bahawa buah perah perlukan kemahiran untuk memasaknya.

“Buah perah memang memabukkan jika dimakan mentah-mentah kerana getahnya boleh memberi kesan sampingan namun bergantung juga kepada ketahanan badan si pemakan.

“Sebab itu, kita gunakan pelbagai cara untuk prosesnya sebelum dimakan seperti merebus, jeruk bersama petai atau bakar dan rasanya memang enak, lemak manis seolah-olah memakan kacang,” ujarnya.

Menurutnya, pokok perah mengeluarkan buahnya semusim dengan pokok durian dan penduduk menyifatkannya sebagai kembar durian kerana berbuah hampir serentak.

Buah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila ‘letupan’ buahnya yang lonjong dalam kepompong yang sudah cukup tua berlaku dalam cuaca panas dan terdapat antara dua hingga tiga biji bersalut kulit keras dan licin. - UTUSAN ONLINE