Bezanya juadah air tangan Kak Mek atau nama sebenarnya Che Wook Embong, 62, dengan adunan rempah ratus secukup rasa yang digaul dengan pengalamannya dengan keenakan tersendiri yang membangkitkan selera, dan keinginan untuk merasa juadah tradisional itu.

Amalan mengacau bubur asyura kini sebenarnya berubah daripada masing-masing melakukan bersama keluarga kepada secara berkumpulan terutama melalui badan-badan yang memayungi masyarakat kampung, malah melangkau daerah melibatkan jabatan dan agensi dalam skala lebih besar.

Itu yang mungkin disedari oleh Kak Mek dari Kampung Losong di sini setelah amalan tradisi yang mengikat rasa kekitaan dalam hubungan persaudaraan dengan kehidupan ‘pakat’ makin terhakis dalam suasana kian memisahkan.

Justeru kali ini Kak Mek menggerakkan usaha untuk kembali semula kepada suasana silam dengan mengumpulkan kira-kira 100 anggota keluarga, bersama berkongsi belanja, masa dan tenaga di rumah pusaka ibunya, Wan Kiah Wan Jusoh.

‘Tiga periuk besar kali ini boleh menjamu seramai 300 orang. Selain ahli keluarga yang dapat merasa, kita juga agihkan kepada jiran-jiran,” katanya tentang hasil persediaan sejak seminggu lalu yang menggembirakannya.

Program Kacau Bubur Asyura Keluarga Wan Kiah hari ini turut diserikan dengan cabutan bertuah dan pertandingan teka teki dengan lebih 100 hadiah disediakan yang ternyata memeriahkan lagi suasana, melebarkan lagi senyumannya.

Malah dia berharap agar dijadikan acara tahunan bagi keluarga selain pertemuan pada majlis-majlis hari raya, dan berharap juadah ini masih tetap diminati generasi hari ini dan akan datang.

Kak Mek yang berpengalaman memasak bubur selama lebih dua dekad memberitahu tidak pernah belajar dari sesiapa kaedah membuat bubur asyura, selain menggunakan ramuan sendiri.

“Waktu kecil dulu, saya suka makan bubur asyura, tapi dulu-dulu susah nak dapat.Sebab tu saya buat sendiri, selain untuk memenuhi selera, saya juga nak jamu orang ramai,” katanya.

Ditanya resepi rahsia asyuranya sehingga dikenali ramai, katanya, satu periuk besar asyura menggunakan 6 kilogram (kg) beras, 6 kg santan, 3 kg daging, 4 kg ikan bersama empat ekor ayam selain rempah ratus dan selepas adunan disatukan, mengambil masa selama enam jam untuk benar-benar masak.

Ramuan ‘rahsia’ asyuranya itu telah ‘diturunkan’ kepada adik iparnya, Kamariah Long,44 yang kini menetap di rumah pusaka ibunya itu. Keenakan rasa bubur asyura Kak Mek tidak akan hilang. -UTUSAN ONLINE