Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyasarkan pembangunan kawasan seluas 170,000 hektar kelak dengan mengguna pakai kaedah tanaman atau Modul Dadong mengambil sempena projek perintis di sini.

“Semasa melancarkan projek di kampung ini pada 26 Jun lalu, saya sendiri berasa risau sama ada boleh berjaya atau tidak, le­bih-lebih lagi sepanjang 100 hari tempoh penanamannya, pelbagai cabaran dihadapi termasuk serangan serangga perosak dan masalah air bertakung.

“Namun, hari ini setelah pelbagai usaha dilakukan, kita dapat menyaksikan hasil tuaian pertama dan Modul Dadong akan diperluas ke kawasan jelapang di negeri lain pada masa akan datang,” katanya selepas menyaksikan tuaian projek perintis tanaman jagung bijirin di Kampung Dadong di sini, semalam.

Tanaman itu diusahakan di kawasan seluas 14 hektar tanah sawah milik penduduk Kampung Dadong dengan disertai 51 petani dan ia adalah inisiatif kementeri­an dalam usaha mengelak kebergantungan negara terhadap import bijirin untuk makanan ternakan.

Difahamkan negara mengimport hampir 100 peratus jagung bijirin iaitu lebih empat juta tan metrik dengan nilai RM3.1 bilion setahun untuk dijadikan bahan makanan ternakan seperti ayam, lembu, kambing dan akuakultur.

Katanya, matlamat untuk mengeluarkan jagung bijirin secara besar besaran di negara ini merupakan proses panjang yang melibatkan pelbagai peringkat percubaan, dan projek di Kampung Dadong merupakan langkah pertama yang memberi pengalaman berharga.

Menurut beliau, projek itu disasarkan dapat mencapai hasil lapan tan metrik sehektar, pada harga jualan RM900 untuk satu tan metrik kelak melalui beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan pada musim penanaman akan datang.

“Cadangan untuk menanam jagung di luar musim padi, iaitu Jun hingga Oktober adalah sebagai usaha menggunakan sepenuhnya tanah tersebut selain untuk menambah pendapatan petani,” ujarnya.

Projek perintis itu melibatkan kerjasama antara Jabatan Pertanian dengan syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) yang berperanan membimbing petani dan menawarkan jaminan pembelian hasil selain berkongsi keuntungan.

GWG adalah sebuah syarikat peneraju dalam program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian di bawah Projek Permulaan (EPP) 14, iaitu Pembangunan Industri Benih dan salah satu penyelidikan yang djalankannya ialah penghasilan benih varieti jagung bijirin yang sesuai dengan tanah dan iklim negara ini.