Turut menyertai Misi Kemanusiaan Pasca Banjir Skuad Sukarelawan TTB yang tertumpu di Kuala Krai dan Gua Musang itu ialah pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain kira-kira 100 tukang rumah untuk membantu membaik pulih dan membina kediaman baharu di negeri itu.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

Untuk pelepasan pertama, sebanyak 25 buah kenderaan terma­suk jentera berat dan pacuan empat roda mula bergerak ke Kuala Krai.

Dalam pada itu, Ahmad Razif melahirkan rasa kagum dengan semangat kerjasama dan solidariti yang ditunjukkan semua pihak terlibat dalam misi berkenaan untuk sama-sama membantu meringankan beban mangsa banjir di Kelantan.

“Saya kagum dengan solidariti ini, semua pihak bergabung tenaga dan ini menunjukkan semangat 1Malaysia apabila seluruh rakyat Terengganu termasuk parti politik, 30 NGO, badan swasta dan juga persatuan termasuk Dewan Perniagaan Cina sama-sama mengambil bahagian memberi sumbangan termasuk jentera berat, bas percuma dan keperluan lain.

“Semalam saja (kelmarin), telah bertolak ke sana (Kelantan) 60 tan kayu serta atap yang siap dengan pelan pembangunan untuk dihantar ke Dabong (Kuala Krai). Difahamkan ia boleh siap dalam masa tiga hari melibatkan 21 unit rumah,” katanya.

Beliau memberitahu, gabungan tenaga seumpama itu juga memperlihatkan kesungguhan dan kesepakatan rakyat untuk turun padang membantu mangsa banjir di Kelantan meskipun negeri ini turut dilanda musibah itu baru-baru ini.

Katanya, beliau turut menyerahkan tanggungjawab selanjutnya kepada Rozi yang mengetuai misi sukarelawan itu agar dapat menguruskan penyediaan kemahiran kepada ahli yang berdaftar untuk membantu mangsa bencana di negeri lain.

Menurut Ahmad Razif, selepas Kelantan, misi serupa akan diteruskan ke Pekan, Pahang bagi tujuan yang sama.

“Selepas ini, kita akan ke Pahang iaitu di Pekan bagi membantu mangsa (banjir) di sana, kita akan siap sedia untuk menghulurkan bantuan kerana ini merupakan misi kemanusiaan yang perlu kita lakukan, kecil bagi kita tapi besar bagi Allah,” ujarnya.