Warisan leluhur sebagai asas pengukuhan peribadi dengan keunikan tersendiri sudah diha­kiskan masa dan keadaan termasuk oleh silat olahraga yang dicorakkan bagi mengisi keperluan kejohanan sukan, sehingga sukar dibezakan dengan lain-lain seni mempertahankan diri yang dipasarkan secara cukup gah.

Pencak silat sebenarnya tidak dapat dipisahkan dengan kelembutan gerak tari menyusun ‘bunga’ mengikut ‘buah’ dan ‘jurus’ kerana ia asalnya mengkedepannya unsur seni yang menyalut kelembutan dan adab dalam keras dan tangkas serangan dan mematahkan lawan.

Amalan ini hanya akan kekal dikaitkan dengan identiti warisan apabila terus disegarkan oleh irama gendang silat yang lazimnya mengiringi setiap kegiatan perguruan, dengan rentak mengikut tingkah, membangkitkan semangat dan emosi.

Kumpulan muzik pengiring ini terdiri daripada seorang peniup serunai, pemukul gendang anak dan ibu di samping pemalu gong yang memberi warna kepada setiap persembahan.

Justeru, apa yang diusahakan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Negeri Terengganu baru-baru ini suatu yang menarik perhatian, permulaan baharu yang menjanjikan, apabila me­nganjurkan Pertandi­ngan Gendang Silat 2017 peringkat negeri.

Bagi menyuntik kreativiti, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu irama gendang silat Terengganu dan kate­gori bebas (seperti muzik iringan wang kulit, kuda kepang).

Yang Dipertua Pesaka Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, pertandingan selain memeriahkan sambutan Tahun Melawat Terenggsnu 2017 juga bagi menyemai kecintaan dan menarik penglibatan generasi muda sebagai pelapis dalam permainan gendang silat yang turut digunakan untuk mengiringi lain-lain seni persembahan warisan.

Sememangnya, gendang silat semakin jarang kedengaran, ke­cuali sekali sekala jika ada program untuk dipertonton bagi memeriahkan suasana terutama yang dikaitkan dengan pelanco­ngan dan majlis keramaian.

“Ia mempunyai irama yang menusuk dan selain mengekalkan keasliannya, ia boleh dipelbagaikan rentak untuk disesuaikan dengan keadaan melalui olahan yang kreatif,” ujarnya yang turut membayangkan perancangan le­bih besar dan berkesan pada masa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman me­ngumumkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi pembinaan gelanggang silat dan penyediaan peralatan di seluruh negeri.

Peruntukan itu menjadi pendorong merancakkan kegiatan yang menuntut Pesaka memantau pelaksanaan dalam memastikan gelangang sentiasa meriah, tidak bertukar menjadi premis terbiar.

atau bertukarya menjadi warung kelak agar Terengganu boleh terus berbangga tentang warisan yang dipertahankan.