Tasik luas dan jaluran sungainya menyajikan bekalan baung dan lain-lain ikan air tawar, sumber yang menambahkan tarikan untuk mereka yang semata-mata datang atau dalam perjalanan singgah ke bandar kecil  yang diberi jolokan ‘bandar bawah tasik’ ini  untuk menjamu selera.

Kebanyakan restoran menyajikan masakan ikan air tawar terutamanya baung yang enak dalam bentuk gulai, asam pedas tempoyak atau digoreng dan dibakar di samping ulam-ulaman. 

Kuahnya yang lengkap dengan rasa masam tempoyak, rasa berangin dari daun kesum serta serai yang menghilangkan bau hanyir ikan dan pedas yang menggoda, cukup memikat rasa sehingga ramai yang menghirup kuah begitu sahaja.

Keenakan hidangan ini menyebabkan ramai pengunjung pelbagai kaum  terutama dari luar yang mempunyai urusan di negeri ini sanggup memandu ke bandar ini semata-mata untuk menikmati hidangan tengah hari.

Menyedari tarikan itu, seorang peniaga Siti Fatimah Kassim, 33, pemilik Restoran Aroma Kampung turut menyediakan hidangan ikan baung masak asam pedas tempoyak sebagai juadah utama kepada para pelanggan di restorannya.

Restoran Aroma Kampung terletak di Lot 5411-1A, Kedai Kampung Gaung, Kuala Berang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dari 11 pagi dan akan ditutup sehingga semua menu berasaskan ikan sungai habis dijual biasanya antara pukul 4 hingga 5 petang.

“Selain itu, bergedel telur ikan merupakan menu istimewa yang menjadi pilihan orang ramai tetapi tidak setiap hari kami menyediakan hidangan ini kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

“Setiap hari biasa, kami perlu menyediakan sekitar 30 kilogram ikan baung untuk dimasak asam pedas tempoyak dan perlu menambah sekali ganda pada musim cuti sekolah atau perayaan,” ujarnya yang telah menjalankan perniagaan itu dengan dibantu 11 pekerja sejak lapan tahun lalu.

Menurut Siti Fatimah lagi,  pihaknya turut menyediakan masakan kampung yang lain seperti masak lemak putih belimbing buluh, ikan singgang, kerisi panggang, lampan goreng, kerabu rebung dan pelbagai lagi hidangan yang pastinya memikat selera.

Sementara itu, Mohd Fakih Daud, 26, berkata, beliau dan rakan-rakan sanggup datang ke Kuala Berang dari Kuala Terengganu semata-mata untuk menikmati asam pedas tempoyak baung selepas mengetahui tentang keunikan masakan tersebut sejak lima tahun lalu.

“Disebabkan keenakan masakan asam pedas tempoyak di sini, saya dan rakan-rakan tidak akan melepaskan peluang menikmatinya setiap kali ada kesempatan...boleh dikatakan saban minggu pasti kami datang menjamu selera sama ada berkumpulan atau dengan keluarga,” ujarnya.

Seorang lagi pelanggan, Yusof Hashim,46, berharap para pengusaha makanan terus mengekalkan kadar harga yang berpatutan, dan tidak mengambil kesempatan atas sambutan agar tidak menjejaskan perniagaan mereka kelak.-UTUSAN ONLINE