Ia turut mengujakan kalangan peminat seni fotografi bagi mengabadikan suasana sepanjang per­jalanan ke puncak Gunung Berembun, melalui air Terjun Cemerong yang tertinggi di negara ini dan bermalam atau berkhemah di kem Langsir.

Pendakian CBL (singkatan kepada nama lokasi-lokasi berkenaan) baru-baru ini turut dilakukan oleh sekumpulan jurufoto yang merupakan ahli kelab Photion Outdoor untuk menjalankan ekspedisi penggambaran.

Ekspedisi serampang dua mata ke CBL pada 31 Mac hingga 2 April lalu itu diketuai oleh Azam Alwi dengan penyertaan seramai 21 ahli kelab berkenaan, keba­nyakannya jurugambar pemanda­ngan dari Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Menurut pengurus program, Yien Mohd. Noor, ekspedisi itu merupakan aktiviti rutin kelab tersebut yang memberi tumpu­an dalam pendakian untuk me­rakamkan gambar-gambar di kawasan tanah tinggi sekitar negara ini dan rantau Asia sejak 2011.

“Pada hari pertama, para peserta menuju ke air terjun Ceme­rong bagi merakamkan gambar pemandangan di situ dan sete­rusnya ke Sungai Bangan dan puncak kem Langsir.

“Aktiviti hari kedua bermula dengan merakam gambar matahari terbit di sekitar kem Langsir sebelum bergerak ke kawasan air terjun manakala pada sebelah petang diadakan kelas perbinca­ngan gambar pemandangan oleh Azam Alwi dan Azrudin Abdul Rashid,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Yien, pengisian hari terakhir diteruskan dengan pendakian ke puncak Berembun yang berketinggian 1,038 meter melalui bantuan dua malim gunung Jabatan Perhutanan.

Yien memberitahu, Photion Outdoor yang ditubuhkan pada 2009, kini mempunyai seramai 25 ahli turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti rekreasi lain termasuk berbasikal, larian trek dan maraton.

Kalangan peserta menyifatkan ekspedisi tersebut sebagai sesuatu yang memberikan kepuasan apabila dihidangkan dengan pemandangan air terjun meng­asyikkan, sungai yang mengalir air jernih , warna-warni langit pagi dan senja serta udara sejuk ketika berada di puncak.

Salah seorang peserta, Mazli Che Mamat, 35, berkata, penyertaan kali pertamanya dalam ekspedisi seumpama itu merupakan satu kepuasan terutama apabila dia sempat merakam gambar matahari terbit walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Untuk mendapatkan gambar matahari terbit, kami menunggu seawal pukul 6.30 hingga 9 pagi dan Alhamdulillah diberikan rezeki merakamkan momen indah itu, malah saya sempat membuat time-lapse,” katanya.