Timbalan Menteri di Jabatan Per­dana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, ja­ringan seumpama itu akan dapat menggalakkan penyertaan serta komitmen golongan mahasiswa dalam usaha melahirkan lebih ramai cendekiawan berorientasikan Islam yang dinamik.

Setakat ini beliau berpuas hati dengan penyertaan warga kampus dalam Sahabat Yadim yang disifatkannya cukup membe­rangsangkan berdasarkan jum­lah keahlian di seluruh negara mencecah lebih 8,000 orang.

Dalam hal itu, beliau menyanjung tinggi langkah serta peranan Universiti Malaysia Te­rengganu (UMT) sebagai tuan rumah kepada penganjuran siri keempat Konvensyen Kebangsaan Sahabat Yadim 2017 di kampus universiti itu di Gong Badak baru-baru ini.

“Kita ucapkan tahniah kepada Yadim yang berjaya menganjurkan Konvensyen Kebangsaan Sahabat Yadim kali ini dan sebanyak 28 IPTA dan IPTS sudah ada jari­ngan Sahabat Yadim di kampus.

“Terima kasih juga kepada UMT selaku tuan rumah tahun ini dan merupakan antara universiti paling aktif. Ini kerana Sahabat Yadim sendiri jadi model terbaik agar pentadbiran universiti dan pihak Sahabat Yadim serta pertubuhan mahasiswa bekerjasama rapat dalam melahirkan pelapis generasi akan datang,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata demikian selepas menyempurnakan maj­lis perasmian konvensyen ber­kenaan di kampus UMT di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Yadim, Dr. Yusri Mohamad dan Timbalan Naib Canselor UMT (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali.

Beliau berkata, penubuhan Sahabat Yadim penting dalam melahirkan lebih ramai mereka yang mempunyai jiwa serta pemikiran Islam yang dinamik dan progresif sekali gus berke­upayaan memimpin rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Demikian antara kekuatan yang harus kita beri dukungan serta memperkasakan Sahabat Yadim di universiti-universiti,” ujarnya.