“Dalam tempoh sesingkat ini, saya sudah banyak mengetahui tentang persekitaran pendidikan di daerah ini, komitmen para pegawai bersama warga pendidik yang turut dirangsang oleh kecaknaan para pemimpin setempat melalui interaksi bersama mereka.

“Mereka (para pemimpin setempat) bersama-masa berusaha memastikan tahap pendidikan terus dipertingkatkan, begerak sering dengan kami, menyalurkan bantuan dan peruntukan, di samping turut memberikan sumbangan idea,”ujarnya.

Malah katanya, pemimpin seperti Datuk Din Adam selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Ke­majuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan juga Pegawai Pembangunan Daerah turut menyumbang idea serta merencanakan program sokongan.

“Banyak masanya juga dihabiskan dengan turun ke sekolah-sekolah, bukan sekadar merasmikan majlis tetapi turut sama menyelami keadaan sebenar dalam memikul tanggungjawabnya,” tambah beliau.

Abdul Muie ditemui selepas Program Motivasi Perdana Cakna Kasih 2017 yang diadakan di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun di sini semalam bagi terus memberi rangsangan kepada 276 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang terpilih dari seluruh daerah ini.

Program pecutan akhir menje­lang UPSR itu dicetuskan oleh Din yang turut berinteraksi dengan calon-calon dan ibu bapa mereka serta warga pendidik dengan menjayakan program bercorak dialog dan motivasi itu bersama dengan pensyarah UiTM Dungun, Wahairi Mahmud.

Kalangan calon terpilih itu merupakan kelompok yang disa­sarkan dapat melonjakkkan pencapaian cemerlang 6A mencecah 10 peratus daripada keseluruhan 2,760 calon di daerah ini dalam format baharu UPSR yang makin mencabar.

Daripada 48 buah sekolah termasuk tiga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Gred Purata Sekolah (GPS) dijangka mampu mencecah 1.7 dan 80 peratus mi­nimun D yang boleh mele­takkan kedudukan daerah ini pada tangga ketiga seluruh negeri.

Program dalam suasana santai itu adalah kemuncak daripada susulan siri lawatan Din yang juga Ketua UMNO bahagian ke sekolah-sekolah luar bandar di daerah ini bagi tujuan memberi suntikan motivasi kepada calon-calon UPSR 2017.

Menurut Din, sebagai pe­mim­pin setempat yang dibe­ri amanah untuk bersama mem­bangunkan daerah ini dan masyarakat sejak 2004, beliau memberi penekanan serius terhadap aspek pemba­ngunan pendidikan dengan turut menginsafi kesukaran hidup yang pernah dilaluinya.

“Kebanyakan sekolah di daerah ini berada di luar bandar. Di peringkat sekolah rendah, anak-anak lebih mudah dan dilentur untuk menimba ilmu dengan kesedaran sebagai bekalan masa depan mereka, yang turut me­nuntut sokongan padu keluarga.

“Pelbagai bantuan disa­lurkan dan beberapa sekolah dalam kawasan operasi Kete­ngah masih perlu diberi perhatian khusus, dalam agenda memperkasakan pendidikan di luar bandar,” ujarnya ketika ditemui.

Katanya, pem­ba­ngu­nan luar me­­rupakan proses pe­ningkatan taraf hidup masyarakat melalui penambahbaikan dalam pe­­ngisian keperluan kehidupan masyarakat terutama pendidikan, sosio ekonomi, perumahan dan kebajikan selain jaringan per­hubu­ngan.

“Perubahan menyeluruh tentu­nya tidak boleh dijaya dan dilihat keberkesanan hasilnya dalam masa yang singkat,” ujarnya.