Program edisi keempat selama enam hari di Kampung Cina di pusat bandar raya ini anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (TCCCI), dicorak agar suasana lebih meriah sempena Tahum Melawat Terengganu 2017.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, program ini merupakan produk pelancongan berpotensi tinggi terutama bagi tarikan pelancong dari luar negara.

“Masyarakat peranakan Cina di sini terutama di beberapa perkampungan tradisional dikenali dengan panggilan Mek dan Awang, berhubung dengan loghat tempatan dan mengongsi resam kehidupan yang hampir sama dengan orang-orang Melayu.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, beliau memberitahu, sepanjang program itu berlangsung, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk demontrasi masakan makanan tradisional peranakan, pameran dan persembahan kebudayaan.

“Juga karnival bazar jualan, bot berhias, pertunjukan Mek & Awang, cabaran Rubik’s Cube dan pertunjukan bunga api,”ujarnya.

Majlis perasmian program yang termasuk kalendar tahunan pelancongan negeri akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di pekarangan pintu gerbang Kampung Cina pada 26 Ogos ini pada pukul 8 malam.

Sementara itu Presiden TCCCI, Datuk Low Wan Cheong berkata, festival kali ini akan membawa sedikit kelainan dengan mengetengahkan elemen baharu iaitu pavilion yang dilengkapi cahaya dan bunyi.

“Kita juga mengambil konsep dari orang muda dengan memperkenalkan Wechat Stiker dengan membina ikon Mek Awang yang ternyata mendapat maklum balas yang amat positif,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE