Program anjuran Kelab Cina Kemaman dengan penglibatan 27 badan bukan kerajaan yang  memayungi komuniti itu diadakan di Dewan Komuniti Tionghoa di Cukai Utama di sini berlangsung dalam suasana penuh meriah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, suasana itu seakan  memperlihatkan satu perkembangan baharu terhadap penerimaan mereka dengan lebih meluas kepada kepemimpinan negeri dan parti yang memerintah.

"Dengan muafakat bersama, saya yakin ekonomi kita akan menjadi lebih kuat dan dengan kekuatan itu  lebih banyak pembangunan dapat dicurahkan untuk kesejahteraan hidup rakyat," ujarnya.

Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM280,000 untuk baik pulih pendingin hawa dan lain lain kerosakan yang terdapat di Dewan Komuniti 

Tionghoa.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kawasan Dewan Undangan negeri Cukai terlepas kepada Pas dengan majoriti 2,446 yang dikaitkan dengan peralihan sokongan sebahagian pengundi Cina kepada parti pembangkang itu.

Sementara itu, pengerusi penganjur, Datuk Soh Kok Hiang percaya masyarakat Cina di sini  tidak lagi terikut-ikut dengan mereka yang berada di kawasan lain dengan membuat pertimbangan sendiri.

"Kami akan fokus kepada perpaduan dengan membina hubungan sesama kami bagi memastikan hasil PRU-14, di bawah keminpimpinan Menteri Besar mencapai kemenangan lebih besar," ujarnya. - UTUSAN ONLINE