Begitulah rutin Mohd. Mustafa, 66, yang masih terbawa-bawa sehingga ke saat ini meskipun anaknya itu, Allahyarham Abdul Bari Asyraf, 31, sudah 15 hari pergi menghadap Ilahi.

Allahyarham mati lemas ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga setelah kenderaan yang dinaiki keluarga itu terhumban ke dalam sungai di Pulau Warisan di sini 8 Februari lalu.

Mohd. berkata, dia sememangnya sedar dan menerima hakikat yang Abdul Bari Asyraf, anak ketiga daripada sembilan itu sudah meninggal dunia, namun pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara spontan mengetuk pintu bilik anaknya itu untuk mengejutkan arwah supaya bangun solat subuh.

‘‘Hingga sekarang saya masih terbawa-bawa buat macam itu walaupun anak saya sudah tiada,’’ katanya hiba.

Mohd. ditemui selepas program Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu 2019 (Hebat) yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Stadium Negeri di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Mohd. mewakili Allahyarham Abdul Bari Asyraf menerima anugerah Wira Darul Iman berupa insentif RM10,000 dan sijil penghargaan bagi mengenang jasa serta pengorbanan besar menyelamatkan lima nyawa dalam kejadian di Pulau Warisan tempoh hari.

Selain Allahyarham, lima lagi individu yang turut sama bertarung nyawa menyelamatkan mangsa juga menerima anugerah Wira Darul Iman termasuk insentif RM3,000 seorang serta sijil penghargaan.

Dalam pada itu, Mohd. berkata, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan seluruh keluarga termasuk isterinya, Masitah Awang mengenai wang RM10,000 yang diterimanya itu.

‘‘Kami akan bincang dulu, kita akan gunakan wang simpanan arwah untuk tujuan itu nanti (upah haji),’’ katanya.