AHMAD RAZIF
AHMAD RAZIF

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberitahu, buat permulaan, empat daripada sembilan lif yang sudah agak usang itu akan diganti baharu dengan peruntukan RM1.6 juta melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Bagi fasa pertama, pihak kontraktor telah memberi jaminan dua lif boleh disiapkan pada 10 Januari ini dan dijangka boleh digunakan oleh orang awam sama ada sehari atau dua hari selepas itu manakala dua lagi dalam bulan Mac,” katanya.

Beliau berkata demi­kian kepada pemberi­ta selepas mendengar taklimat di­­­sampaikan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Che Ka­maruddin Bahar di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan­ Masyarakat negeri, Roslee Daud dan Pengarah Kesi­ha­tan negeri, Dr. Mohammad Omar.

Daripada sembilan lif di HSNZ, enam dikhususkan untuk orang awam dan masing-masing satu lif diraja, lif barang dan lif untuk kakitangan. Hospi­tal itu menerima 3,000 hingga 4,000 pelawat setiap hari.

“Selesai kerja penggantian empat lif itu, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk menukar baki lima lif dan kesemua sembilan lif ini akan diganti baharu pada tahun ini,” kata Ahmad Razif.

Bagi melancarkan lagi kerja-kerja naik taraf dua lif yang sedang berjalan sekarang, HSNZ akan mengubah waktu lawatan pesakit pada tengah hari mulai hari ini sehingga 15 Januari ini iaitu pukul 12.30 hingga 2.30 petang berbanding pukul 12 tengah hari hingga 2 petang ketika ini.

Ia bagi memberi laluan kegunaan lif untuk diutamakan kepada troli makanan, ubat, sisa klinikal dan sampah dari wad serta mengelak pertembungan pelawat dengan kakitangan yang bertukar syif pada waktu puncak itu.

Sementara itu, Dr. Mohammad berharap orang ramai memberi kerjasama berhubung perubahan waktu melawat itu dan bagi pelawat yang sihat, mereka digalakkan menggunakan tangga bagi mengurangkan kesesakan penggunaan lif.

“Kerosakan lif yang sering berlaku di HSNZ memberi implikasi buruk terhadap perkhidmatan hospital ini seperti kelewatan penghantaran pesakit masuk ke wad dan kecemasan, sampel ujian pesakit ke makmal dan kelewatan kakitangan masuk bertugas,” ujarnya.