Pengarah KPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samat berkata, sehingga kini hanya 20 kertas siasatan dibuka dengan 16 kes membabitkan YBNT Group & Resort Sdn. Bhd. manakala empat kes bagi YBNT Umrah Travel & Tours dengan kerugian keseluruhan bernilai RM160,000.


“Jadi kita menggesa mereka yang menjadi mangsa penipuan umrah YBNT supaya tampil membuat aduan kepada KPDNKK untuk kita bawa kes ini ke TTPM.


“Aduan yang diterima sangat sedikit cuma melibatkan 20 orang sedangkan kita sedia maklum kes ini melibatkan ribuan mangsa dengan jumlah kerugian yang bernilai jutaan ringgit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Dalam tempoh hanya lima bulan bermula Jun hingga Oktober tahun lalu, YBNT, organisasi yang menguruskan penajaan umrah membabitkan kebanyakan guru di negeri ini mencatatkan kemasukan wang berjumlah RM14.2 juta.


Wang yang dimasukkan ke dalam akaun salah satu daripada tujuh anak syarikat berdaftar kepunyaan yayasan yang beroperasi di Jerteh, Besut itu bagaimanapun, dikesan telah dikeluarkan dengan menggunakan beberapa keping cek dan secara tunai.


Penemuan itu susulan penahanan seorang pengarah eksekutif dan akauntan pada Disember tahun lalu yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan umrah membabitkan kira-kira 4,800 peserta sehingga hasrat mereka untuk mengerjakan umrah tahun ini tergendala. - UTUSAN ONLINE