Ahmad Razif Abdul Rahman

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu juga sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu.

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) setuju untuk memberikan tapak Sekolah Agama Batu Rakit yang dulu dijadikan madrasah moden pertama di negeri ini, dan permohonan bagi pengambilan pelajar tingkatan satu tanpa mengira kelayakan akademik sudah dibuka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Al-Hiwar Agamawan Bersama Menteri Besar di Seri Iman, di sini, malam kelmarin.

Katanya, langkah awal ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai minat untuk belajar agama, namun sekolah-sekolah sedia ada tidak dapat menampung.

“Pelajar yang tidak cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi pandai me­ngaji dan berminat menguasai bidang agama boleh masuk ke madrasah ini,” katanya.

Menurut beliau, buat permulaan peluang dibuka kepada pelajar lelaki sahaja dengan sejumlah 200 orang akan tinggal di asrama.

Dalam perkembangan lain katanya, sekolah pondok moden iaitu Desa Taqwa di Kampung Telemong khusus untuk memberi peluang kepada golongan pesara dan veteran mendalami ilmu agama juga akan dibuka dalam masa terdekat.

“Sekolah pondok berkenaan yang dilengkapi pelbagai prasarana termasuk asrama, dewan dan bilik kuliah kini sudah siap sepenuhnya dan ia dijangka mula beroperasi pada bila-bila masa sahaja.

“Sepanjang bulan puasa nanti, golongan veteran boleh mengikut program keagamaan di madrasah ini yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk majlis berbuka puasa, sembahyang tarawih, qiamullail dan sebagainya secara berjemaah,” katanya.