Motosikal, suatu yang dekat dengan naluri remaja, dan de­ngan tarikan paparan dalam filem serta pengaruh rakan dalam mencari kese­ronokan melalui aktiviti berkelompok, dia turut terjebak dengan gejala merem­pit yang meng­ujakan namun menjadi igau­an ngeri bagi pengguna lain.

Walaupun sedar tentang perbuatan itu jelek, merisau dan memalukan masyarakat, namun dia teruskan kerana memberi kepu­asan apabila menjadi perhatian dengan pecutan laju serta aksi-aksi ‘kejaguhan' yang ditonjolkan tanpa mempedulikan peraturan jalan raya, malah nyawanya sendiri.

“Mulanya cuma tengok mat rempit berlumba di jalan raya sekitar Durian Burung pada hujung minggu dan kemudian minat itu datang. Saya tahu me­rempit bahaya tapi ia memberi kepuasan,” katanya tentang gejala sosial yang membiak di bandar raya suatu ketika dahulu.

Dia pernah menga­lami kecederaan pa­rah dalam kemala­ngan terdahulu na­­­mun ti­dak serik tanpa menghiraukan la­ra­ngan ibu bapa dan keluarga.

“Kemalangan pertama semasa di tingkatan empat apabila saya merempuh motosikal kawan dan berulang lagi setahun kemudian tetapi saya tetap terus­kan sampailah seorang kawan mekanik membe­ri­ta­hu tentang kemudahan litar untuk berlumba dan mengajak saya turut serta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Litar dalam Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang dibangunkan dengan kos RM12.7 juta itu merupakan salah satu pendekatan kerajaan negeri bagi melorongkan naluri remaja kepada kegiatan yang lebih bermanfaat ketika melalui peringkat usia yang mudah berdepan krisis dalam pembentukan dan pengembangan identiti.

Prasarana itu yang mula dibuka pada 2017 ketika gejala me­rem­pit terutama di bandar raya ini seakan menjadi barah malah usaha mengekangnya melalui tindakan pe­nguatkuasaan undang-undang berdepan ke­sukaran.

Justeru kerajaan negeri memilih untuk menyokong ‘ke­tagihan’ golongan itu dalam perlumbaan te­tapi bukan di jalan raya secara haram, sebaliknya di litar bertaraf antarabangsa yang dilengkapi pelbagai kemudahan, dan ter­nyata gejala buruk di jalanan itu yang menjadi pemandangan biasa semakin menghilang.

Remaja yang sukakan cabaran dapat diolah daripada kalangan yang dianggap menimbulkan masalah kepada sesuatu yang mencorak masa depan mereka dalam sukan dan industri permotoran, untuk muncul sebagai jaguh yang membanggakan nege­ri dan negara.

Mohd. Shahiruddin Idham yang beberapa kali bergelar juara dalam kejohanan di litar bertaraf antarabangsa itu berkata, berlumba secara sihat lebih menarik kerana tahap keselamatan adalah terkawal di samping tidak membahayakan nyawa orang lain.

“Di litar, waktu hujung ming­gu saya dan kawan-kawan dapat diisi dengan aktiviti berfaedah untuk diri di samping bimbingan termasuk mempelajari teknik dan skil perlumbaan melalui pengendalian motosikal dengan betul di samping aspek keselamatan dan tanggungjawab.

“Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif kerana cakna terhadap anak muda. Paling menggembi­rakan, keluarga sudah boleh te­rima kege­maran saya ini dan me­nyokong saya berlumba,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Permotoran Terengganu Berhad, Mohd. Yasin Awang, 57, berkata, gejala merempit yang da­­hulunya merisaukan malah ada ketikanya beribu motosikal berada serentak di lokasi-lokasi panas setiap hujung minggu, namun kini rata-ratanya selesa memilih berhimpun menyaksikan perlumbaan atau beraksi di litar.

Katanya, walaupun bukan semua golongan itu menjadi pelumba di litar tetapi sekurang-kurang­nya dapat memupuk se­mangat perpaduan dalam kala­ngan anak muda untuk bersama-sama memeriahkan perlumbaan sekali gus memberi suntikan motivasi kepada rakan-rakan mereka.

“Dahulu setiap kali ada acara besar atau hujung minggu banyak laporan mengenai kemalangan maut membabitkan mat rempit tetapi statistik terkini polis mendapati jumlah itu memang sudah jauh berkurangan.

“Selain itu, kita juga berjaya melahirkan beberapa pelumba berbakat menerusi kejohanan an­tarabangsa yang dianjurkan, dan kita berharap suatu hari nanti mereka dapat muncul sebagai pelumba profesional,” katanya yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam dunia permotoran.

Mohd. Yasin memberitahu, kejayaan idea cetusan pemimpin negeri secara tidak langsung mendorong beberapa negeri lain untuk mencontohi, menjadikan Terengganu sebagai rujukan dan pihaknya bersedia berkongsi pendapat dalam menjayakan usaha tersebut,” katanya.