Mereka bimbang tarikan rantaian alam pergunungan indah yang disifatkan sebagai `sanggul negeri' di Hulu Terengganu dengan air terjun tertinggi di rantau ini dan kekayaan flora dan fauna di kawasan itu tidak banyak membantu ke arah menarik tumpuan pelancong sekiranya pengurusan bercelaru dan aspek pemuliharaan tidak begitu diberi perhatian.

Merujuk kepada tatacara pemilihan dan pelaksanaan sistem maling gunung CBL sejak Mac lalu, antara lain kalangan mereka yang mempunyai lesen pemandu pelancong bertauliah yang selama ini mengetuai ekspedisi, dipinggirkan dalam pemilihan.

Mereka menyifatkan langkah itu dan beberapa ketetapan lain menyimpang daripada yang dipersetujui dalam bengkel perancangan dan pembangunan CBL anjuran jabatan itu sendiri.

Wakil mereka, Nik Mohd. Fuad Sepian berkata, idea penubuhan sistem malim gunung awalnya diusulkan oleh pihak mereka bagi mendisiplinkan para pendaki melalui penetapan pengurusan yang sempurna dan alam terpelihara ke arah menjadikannya lokasi pendakian berprestij.

Bercakap kepada pemberita di sini baru-baru ini, katanya, timbul persoalan apabila kumpulan pemandu pelancong yang bertindak sebagai pembimbing dan penunjuk arah dalam kalangan mereka tidak dijemput menghadiri sesi pemilihan oleh Jabatan Perhutanan daerah pada 25 Februari lalu.

“Adalah lebih wajar malim gunung ini terdiri daripada gabungan pemandu pelancong dan penduduk setempat untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman melalui konsep mentor-mentee yang akan turut merapatkan silaturahim.

“Sebagai kumpulan yang berpengalaman dalam aktiviti rekreasi, khususnya mendaki, kami melihat tindakan ini bakal mengundang pelbagai risiko keselamatan dan persepsi negatif terhadap aktiviti rekreasi di Terengganu kerana tatacara dan pelaksanaannya yang tidak betul.

“Seminggu selepas sistem malim gunung dilaksanakan, kami mendapat pelbagai luahan dan rungutan terhadap mutu malim gunung yang dilantik serta birokrasi dan cara pengurusan pihak Jabatan Perhutanan daerah berhubung tatacara pelaksanaan malim gunung,” ujarnya.

Katanya, pihak jabatan hanya membenar dan mentauliahkan penduduk setempat sebagai dan langsung tidak memberi ruang kepada mereka dalam badan-badan ini yang telah lama memberi khidmat mempromosi CBL sebagai lokasi pendakian yang menarik.

Beliau turut mempersoalkan mengenai caj RM50 bagi setiap sesi malim gunung menjalankan kerja di CBL manakala prosedur pengeluaran permit juga mengelirukan dengan banyak kes kelulusan dibuat kurang dari tujuh hari sebelum pendakian yang menyukarkan persiapan.

“Laluan berisiko kepada para peserta masih dikekalkan tanpa sebarang tindakan menaik taraf manakala peserta dibenarkan berkhemah di lokasi-lokasi strategik seperti di Lubuk Lesung yang boleh memusnahkan tarikan di sana.