PELAJAR KQT yang memenangi pertandingan Video Pendek Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa 2017 di Selangor, baru-baru ini.

Video mengenai penemuan Batu Bersurat Terengganu yang mengukir rakaman sejarah kedatangan, penyebaran Islam dan pelaksanaan perundangan sya­riah itu menjuarai kategori Terbuka Negara-Negara ASEAN.

KQT dalam satu kenyataan memberitahu, pencapaian membanggakan ini mengulangi kejayaan dalam pertandingan yang sama pada tahun lalu dengan kejuaraan bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi.

Salah seorang peserta yang mewakili kolej berkenaan, Amirah Izzah Muda juga menerima anugerah khas juri sebagai Pelakon Terbaik 2017.

Amirah Izzah merupakan pe­lajar semester dua jurusan Diploma Tahfiz al-Quran & Bahasa Arab dan dia turut berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran selain menerima Anugerah Dekan bagi semester satu dengan CGPA 3.95.

Pertandingan anjuran Pusat Pendidikan Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Islam (ISESCO) di Malaysia dengan kerjasama KUIS antara lain untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Arab di negara ini dan Asia Tenggara melalui penggunaan teknologi.

ISESCO merupakan salah satu pertubuhan antarabangsa yang berperanan membentuk kerjasama di kalangan negara-negara Islam dalam bidang-bidang berkaitan.

“Pertadingan ini yang terbahagi kepada empat kategori sebagai salah satu program bahasa Arab sempena Hari Bahasa Sedunia yang disambut serentak di seluruh dunia pada 18 Disember setiap tahun,” ujar kenya­taan itu.

Menurut, bagi penyertaan kali ini, KQT menampilkan sejarah perkembangan Batu BersuratTerengganu sebagai jalan cerita dengan lokasi utama penggambaran di Muzium Negeri Terengganu di Losong.

“Video pendek Bahasa Arab yang dinobatkankan selaku juara ini dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan dari Unit Media Kreatif Teknologi Maklumat KQT,” ujarnya.