Dengan memperluaskan kesedaran dan kefahaman, ia diharap dapat mengurangkan perbezaan pendapat dan tafsiran, di samping mengikis aliran pemikiran baharu yang mengelirukan, yang boleh menjurus ke arah pertikaian dan konflik, sekali gus membantu ke arah mengukuh perpaduan ummah.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, berdasarkan situasi semasa yang mencabar, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan kolokium itu.

"Terengganu merupakan negeri terawal menerima Islam, pada abab ke-14, dengan menjadikan Islam sebagai tatacara hidup yang disahkan melalui catatan Batu Bersurat.

"Kita merasakan Terengganu mesti terus tegas untuk memstikan Islam sebagi asas pegangan kuat rakyat dan negeri, justeru kolokium ini suatu manifestasi," ujarnya di sini semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat menyempurnakan perasmian program tersebut di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man dekat ini.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama kerjasama Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia itu dijangka melibatkan 2,500 peserta.

Ia bakal menghimpunkan ilmuan Islam dalam semua bidang dan kepakaran masing-masing bagi membicarakan tentang kemaslahatan di kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negeri dan negara ini erta nusantara umumnya.

Ghazali menambah, selain dalam negara, pakar-pakar dari luar turut diundang untuk membicarakan dan mengupas isu-isu serta permasalahan semasa agar terpandu ke arah menegakkan pegangan secara sempurna.
 
“Antaranya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Wan Zahidi Wan Teh yang akan membicarakan tajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah Di Malaysia: Sumbangan dan Cabaran Masa, di samping Prof. Datuk Zakaria Stapa, penyandang kerusi Sheikh Abdullah Fahim Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Sementara Prof. Dr. Sudirman M. Johan dari Universiti Sultan Syarif Kasim II, Pekan Baru, Indonesia pula akan membincangkan mengenai Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah : Sumbangan Kearifannya di Asia Tenggara,” katanya.

Menurut beliau lagi, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei, Dr. Norarfan Zainal akan membicarakan tentang peranan negaranya dalam mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.-UTUSAN ONLINE