Kolej Komuniti Kuala Terengganu (KKKT) salah satu daripadanya, dan para pelatihnya juga didorong untuk memanfaatkan kemahiran yang ditimba, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga bagi masyarakat terutama yang berada dalam lingkaran kehidupan mereka.

Terbaharu dalam gerak kerja kemasyarakatannya, KKKT menjayakan Program Touch Point Cabinet Away 2017 dengan membaik pulih sebanyak 18 buah rumah golongan berpendapatan kecil dalam Parlimen Kuala Nerus di samping memberi wajah baharu kepada empat buah masjid termasuk dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Pengarahnya, Wan  Ayub Wan Ahmad memberitahu, sebanyak RM105,000 diperuntukkan bagi program itu yang bermula pada awal bulan ini dengan penglibatan 280 orang warga KKKT melibatkan pelajar, kakitangan dan pensyarah dengan kerjasama penduduk.

"Kami menyasarkan usaha ini dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan," katanya ketika ditemui semasa majlis ringkas pelancaran fasa 2 program itu yang disempurnakan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Salleh Othman di Masjid Losong Haji Mat Shafie, di sini hari ini.

Pelaksanaan fasa dua  melibatkan kerja-kerja mengecat dan membersihkan masjid dan surau terpilih termasuk surau Losong Panglima Perang, Masjid Bukit Tunggal dan Masjid Bukit Kandis.

"Melalui aktiviti sebegini, pelajar didedahkan dengan kerja-kerja sukarelawan dan mendekatkan mereka dengan realiti kehidupan agar sentiasa prihatin terhadap kesukaran hidup anggota masyarakat serta memupuk sifat saling membantu.

"Di samping itu, pastinya mereka berpeluang untuk membuat pengukuhan akademik di lapangan serta meningkatkan kemahiran yang dipelajari," ujarnya. - UTUSAN ONLINE