Program sebegini yang lazimnya digerakkan oleh pelbagai pihak bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan tetapi juga menjadi suatu majlis yang dapat merapatkan lagi perhubungan dalam kalangan masyarakat.

Di Dewan Sivik Kampung Seberang Marang dekat sini semalam, seramai 160 kanak-kanak melalui proses meniti ke alam remaja dengan menyertai Program Khatan Perdana dalam suasana menceriakan.

Program anjuran Lajnah Kebajikan Pas Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera ini dirasmikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, ketua lajnah berkenaan, Ahmad Puteh berkata, program pertama kali mendapat sambutan di luar jangkaan dan ini mendorong pihaknya untuk menjadikannya sebagai program tahunan dengan penyertaan lebih meluas.

“Program ini terbuka kepada semua, tidak kira latar belakang kewangan keluarga masing-masing, tapi memberi keutamaan kepada keluarga yang berpendapatan rendah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE