Barangkali kerana peranan dan penampilannya yang agak low profile, jabatan itu kurang dikenali sedangkan peranan serta sumbangannya cukup besar terutama dalam menjaga keselamatan dan kesihatan di sektor sumber manusia.

JKKP Terengganu dan negeri-negeri lain lazimnya akan dikerah apabila ada dalam kalangan kontraktor atau pemaju yang hanya memandang sebelah mata terhadap aspek keselamatan pekerja di tapak-tapak binaan seolah-olah nyawa pekerja tiada harga.

Para pegawai serta kakitangan jabatan itu yang menyertai operasi pasti berdepan pelbagai kes dan tragedi.

Ada kes pekerja binaan maut akibat terjatuh dari bangunan ketika bertungkus-lumus menyiapkan kerja.

Malah ada yang terkorban setelah dihempap struktur binaan akibat kecuaian pihak pemaju sendiri yang terlalu mengejar keuntungan dan bermacam kes lagi menimpa pekerja terutama di sektor binaan yang sentiasa berisiko.

Atas faktor itulah, JKKP Terengganu tidak pernah ‘duduk diam’ sebaliknya sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa mengira tempat dan masa.

Mereka ini digerakkan dalam beberapa kumpulan melancarkan operasi terutama ke tapak-tapak binaan di segenap pelusuk negeri ini demi memastikan keselamatan pekerja sentiasa dijaga dan terus mendapat pembelaan majikan.

Meskipun adakala mereka terpaksa berdepan risiko tinggi yang cukup mencabar termasuk diba- ling batu, dihempap struktur binaan serta dikejar anjing, semua itu tidak pernah meluntur semangat dan komitmen mereka untuk terus berkhidmat.

Terbaharu, bermula 24 Ogos hingga 27 Ogos lalu, operasi dikenali Operasi Tapak Bina Bil. 2 2015 dilancarkan serentak di seluruh negara bagi memastikan tapak-tapak binaan sentiasa dalam keadaan selamat dan sihat dengan mematuhi kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).

Tidak terkecuali JKKP Terengganu yang turut menjayakan ope­rasi seumpama itu di negeri ini yang memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti kritikal di tapak binaan iaitu kerja-kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja melibatkan struktur sementara (formwork dan falsework).

Menurut Pengarah JKKP Terengganu, Ir. Dasuki Mohd. Heak, ia juga bagi meninjau sejauhmana tahap keselamatan yang terdapat di tapak-tapak binaan selain berusaha mengurangkan kadar kemalangan.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan potensi risiko kemalangan melibatkan akti­viti di tapak bina dapat dikawal dan ditangani dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, prestasi pencapaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara menunjukkan wujud kemajuan dengan penurunan kadar kemalangan melibatkan tempat kerja.

“Pada 2014 kadar kemalangan negara adalah sekitar 3.10 peratus atau 1,000 pekerja berbanding 3.28 peratus atau 1,000 orang pekerja pada tahun 2013,” jelasnya.

Bagi negeri ini pula, jelasnya, ia juga mencatatkan penurunan iaitu setakat Julai tahun ini, sebanyak lima kes kemalangan di sektor pembinaan dilaporkan membabitkan satu kematian berbanding 19 kes dengan lima kematian tahun lalu dan 30 kes dengan lapan kematian tahun 2013.

Dasuki memberitahu, risiko yang berlaku akibat aktiviti yang dijalankan di tapak bina dilihat unik dan kritikal sekiranya dibandingkan risiko yang wujud di sektor pekerjaan lain memandangkan aktiviti kerja melibatkan tapak pembinaan sentiasa berubah-ubah dan bergantung kepada kemajuan fizikal projek pembinaan.

Ujarnya, komitmen kontraktor utama, sub kontraktor dan pekerja amat penting bagi memastikan ke­selamatan dan kesihatan sewaktu bekerja bagi mewujudkan suasana persekitaran kerja yang kondusif dan selamat daripada bahaya.

“Penguatkuasaan yang dijalankan oleh JKKP bukan saja bertujuan melindungi pekerja malah orang lain khususnya orang awam yang turut terdedah kepada bahaya daripada aktiviti di tapak pembinaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan ke atas pemaju yang mengabaikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak-tapak binaan.

Beliau berkata, jika mereka gagal mematuhi kehendak di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139), mereka boleh dikenakan tindakan notis larangan, kompaun selain tindakan mahkamah.

Dasuki menjelaskan, Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 atau dua tahun penjara jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, sehingga kini terdapat 184 tapak pembinaan yang berdaftar dengan JKKP Terengganu dan daripada jumlah itu, 34 merupakan projek besar melibatkan nilai melebihi RM20 juta.

Katanya, JKKP negeri turut me- lancarkan Operasi Tapak Bina ke satu tapak binaan di Kampung Ladang Tok Pelam di sini baru-baru ini yang disertai seramai sembilan pegawai dan operasi hampir dua jam berakhir pukul 12 tengah hari itu diketuai Timbalan Pengarah (Operasi) jabatan itu, Sarimah Awang.

Ujarnya, hasil operasi itu, JKKP Terengganu mengenakan tindakan serta merta dengan mengarahkan tapak binaan terbabit menghentikan operasi dan pagar kawasan tapak itu dikunci kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan pemaju kerana mengabaikan keselamatan pekerja.

“Selain itu, tapak berkenaan juga didapati tidak mendaftar dengan JKKP walaupun pernah diminta berbuat demikian sebelum ini,” katanya.