Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, malah kemeriahan suasana itu memperlihatkan momentum sokongan yang makin meningkat biarpun dalam keadaan suasana politik semakin mencabar.

Dengan komitmen pemimpin di semua peringkat, katanya, transformasi politik yang digerakkan memberi impak yang meningkatkan keyakinan bahawa kerajaan BN akan terus menguasai negeri dengan kedudukan lebih kukuh.

“Semua ini memberi petanda positif untuk BN mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja sehari ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Penyelaras DUN yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Rozalina Mokhtar.

Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya pada 15 dan 16 April lalu turut yakin BN Terengganu akan terus menerajui negeri berdasarkan pengamatannya.

Ahmad Razif turut menarik perhatian tentang sudah wujud suasana berbeza di DUN Ladang yang dikuasai pembangkang de­ngan kecenderungan yang diperlihatkan rakyat untuk melakukan perubahan.