Dijayakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kejohanan bakal diadakan di Lapang Sasar Memanah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini dengan penglibatan 104 peserta yang mewakili negeri masing-masing.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim, Azizan Muhammad berkata, penyertaan terbuka kepada semua pelajar sekolah agama rakyat (SAR), sekolah agama negeri (SAN) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Katanya, kejohanan bakal menyaksikan peserta berentap dalam acara recurve 50 meter untuk lelaki dan perempuan.

“Ini merupakan inisiatif Jakim dalam membina keyakinan pelajar terhadap apa jua aktiviti sosial sihat di samping memupuk disiplin mereka.

“Kani akan jadikannya sebagai acara tahunan dengan dimasukkan dalam Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia (Kesuma) bermula tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Yang hadir sama, Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi.

Sementara itu, Wan Ismail Sahaimi berkata, kesemua lapan atlet memanah yang dipilih mewakili Terengganu terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMAZA), SMA Mahmudiah Kuala Berang di samping Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun, Kemaman dan Besut.-UTUSAN ONLINE