Dijenamakan sebagai Kuala Berang (KB) Street, pusat perniagaan mini yang menempatkan 10 kios bagi mereka yang pernah mengikuti kursus keusahawanan dan akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Tengku Putera Tengku Awang berkata, program itu adalah kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) bagi membuka peluang perniagaan dalam keadaan tersusun di kawasan strategik.

“Sepuluh gerai ini yang dibekalkan oleh YPU ditawarkan kepada peniaga wanita di bawah umur 45 tahun,” katanya selepas melancarkan kios KB Street dan pengagihan buku Humanity (CD Tours) Taqrib Ukhuwah OKB 2 Thailand/Laos, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Rozali Salleh; Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhaimi Omar dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, KB Street bakal menjadi tempat bagi memasarkan pelbagai produk makanan, pakaian dan hasil kraf tangan yang dihasilkan penduduk tempatan bagi memacu ekonomi setempat.

“Kita berharap mereka ini menjadi peniaga besar dan berjaya satu hari nanti dengan permulaan di KB Street sebagai pusat perdagangan dan pertemuan peniaga.

“Sebagai permulaan, mereka tidak perlu membayar sewa kios selama setahun. Mereka hanya perlu bayar lesen perniagaan kepada MDHT,” katanya.

Tengku Putera berharap mereka yang dipilih mempunyai kreativiti tersendiri sebagai satu daya tarikan bagi mempromosi dan memasarkan produk mereka.

Sementara itu,Tun Faisal berkata, pihaknya turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM20,000 bagi menceriakan bangunan sekitar KB Street dengan lukisan mural 3D sekali gus menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang dan me­rakam kenangan ketika membeli-belah.