Setelah lima  hari berbasikal bermula dari Rembau, Negeri Sembilan, konvoi yang dketuai oleh  Presiden Persatuan Sukan Rekreasi OKU Penglihatan Negeri Sembilan (NSBSA), Shamsul Anuar Amat Kasi, 47 tahun tiba di  Kompleks Rakan Muda Daerah Besut dI sini.

Bersama 39 lagi peserta termasuk seorang lagi OKU penglihatan dan seorang yang cacat di bahagian kaki,  konvoi  itu  telah melepasi jarak 375 kilometer yang ditetapkan oleh MBR di bawqah kategori “Longest Distance Tandem Cycling By A Group (Visually Handicapped)”.

Shamsul berkata, pihaknya berharap konvoi itu dapat melepasi Banjaran Titiwangsa Sabtu ini yang bakal  menguji ketahanan mental dan fizikal  selain  kerjasama di kalangan peserta bagi menamatkan kayuhan sejauh 1,505 km.

Bercakap kepada  pemberita sejurus tiba do sini, Shamsul yang juga seorang guru  berkata, program yang berlangsung selama 25 hari itu  akan berakhir di Port Dickson.

“Kayuhan ini  bertujuan merapatkan jurang  golongan OKU dengan golongan normal, tiada beza antara kami di samping membuktikan bahawa orang seperti kami boleh berjaya jika diberi peluang dan sokongan.  

 “Kami ingin mengubah pandangan masyarakat  terhadap OKU termasuk  cacat penglihatan dan cacat fizikal  boleh melakukan perkara yang sama asalkan ada semangat dan kegigihan, “ujarnya.

Turut bersama ialah isterinya, Siti Zubaidah Latif, 46 tahun  yang juga seorang guru dan tiga anak mereka berumur antara 7 hingga 14 tahun.

Bekas Tokoh Guru Kebangsaan (OKU)  2019 dan Ikon Guru Negeri Sembilan Tahun 2016 itu  hilang penglihatan  sejak 15 tahun   lalu ketika berumur 32 tahun akibat  penyakit Rentinitis Pigmentosa.

Shamsul menambah, pada masa ini NSBSA mempunyai kira-kira 130 orang ahli dan 10 orang daripadanya merupakan OKU yang akan membuktikan bahawa  golongan OKU mempunyai kelebihan tertentu dan mampu serta berani untuk melakukannya.- UTUSAN ONLINE