Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata, operasi itu adalah bagi menyekat pergerakan bekalan, penjualan dan pembelian barang-barang yang belum mendapat kelulusan Kastam.

Beliau berkata, operasi bermula 22 Mei hingga 22 Jun itu akan memberi fokus terhadap pelbagai bentuk barangan terutama rokok, mercun dan bunga api.

"Lazimnya apabila tiba musim perayaan, barangan tersebut mendapat permintaan yang tinggi di pasaran, jadi kita mengambil langkah awal bagi menyekat aktiviti ini daripada terus berleluasa.

"Ini juga bagi meningkatkan tahap pematuhan peniaga terhadap peruntukan undang-undang Kastam di bawah Akta Kastam 1967 serta Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2015," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Aidid berkata, selain mengadakan sekatan di jalan raya, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan di premis menjual mercun dan bunga api serta di bazar Ramadan yang menjual bahan larangan tersebut.

"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang ditahan atas kesalahan tersebut dan rampasan serta tangkapan akan dilakukan kepada mereka yang ingkar.

"Saya ingin menegaskan tiada tawaran kompaun akan dikeluarkan serta tiada bayaran tunai perlu dibuat bagi tujuan bayaran kepada Jabatan Kastam sepanjang operasi berkenaan," katanya.

Bagi melancarkan operasi itu, beliau berkata pihaknya memohon semua peniaga dan orang ramai memberi kerjasama dan sebarang keraguan boleh berhubung terus menerusi talian 09-62256674.

Aidid berkata, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan di 1,820 premis yang berdaftar GST sehingga Rabu lepas, dan daripada 7,236 peniaga yang berdaftar di seluruh Terengganu, tahap pematuhan mereka terhadap perkara itu mencecah 92 peratus. - BERNAMA