Kemudahan itu sekali gus diharap dapat mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan di atas jambatan tersebut yang merupakan laluan penghubung ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jejambat sepanjang 350 meter yang mula dibina pada penghujung 2015 menelan kos hampir RM25 juta itu bakal memberikan kelegaan kepada pengguna dengan kelicinan pergerakan ke susur Seberang Takir.

Katanya, kemudahan itu secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih ramai pengguna untuk menggunakan laluan berkenaan sebagai alternatif ke lapangan terbang sekali gus merancakkan lagi ekonomi setempat.

"Ini adalah jejambat pertama yang melibatkan susur keluar dan akan menjadi penanda aras serta pemangkin kepada beberapa lagi keperluan jejambat yang perlu dipohon peruntukannya daripada kerajaan Pusat.

"Keadaan di Terengganu dari semasa ke semasa berlaku peningkatan penggunaan kenderaan, dan kerana itu kita sedang membuat persediaan bukan sahaja di sini bahkan di Jalan di Durian Burung, Teluk Pasu, Batu Enam, Tepoh ke susur Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) untuk membangunkan jalan empat laluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan trafik di Jejambat Bukit Tumbuh, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Rosli Othman.

Menurut Ahmad Razif, kerajaan negeri turut berhasrat untuk membangunkan jejambat dari kediaman Seri Iman di sini ke Jambatan Sultan Mahmud melibatkan kos RM500 juta sebagaimana yang dicadangkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, permohonan berkenaan sudah dihantar namun pembinaannya bukan keutamaan di peringkat Pusat kerana tumpuan pembangunan di Terengganu lebih kepada projek hospital dan mitigasi banjir. - UTUSAN ONLINE