Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Mohd. Zahari Hitam berkata, lazimnya hanya 20 hingga 30 peratus kes dikenal pasti berpunca daripada masalah peralatan atau jentera berkenaan.

“Kesedaran orang ramai me­ngenai bahaya yang terdapat pada eskalator dan lif terutama dalam kalangan ibu bapa masih rendah menyebabkan mereka membiar­kan anak-anak bermain yang boleh membuatkan kanak-kanak tersepit atau terjatuh.

“Ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati semasa anak-anak menggunakan kemudahan tersebut dengan mematuhi tatacara penggunaan yang dipaparkan oleh premis terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Eskalator peringkat negeri di Mydin Mall di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun sehingga kini tiada kes kemalangan membabitkan penggunaan kedua-dua kemudahan itu di negeri ini, namun pemilik premis atau bangunan kerajaan, swasta serta pusat beli-belah perlu sentiasa peka bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan para pemilik premis berkenaan termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas lif dan eskalator dari semasa ke semasa.

“Jika kita dapati tidak selamat digunakan dan boleh mengancam keselamatan orang ramai, kita akan arahkan operasi dihentikan.

“Kalau rosak, ia perlu ditukar dan diganti baharu,” katanya.

Mohd. Zahari menambah, terdapat kira-kira 600 lif dan 70 eskalator di Terengganu.

Ujarnya, hasil pemeriksaan berkala yang dilakukan, pihaknya berpuas hati terhadap tahap ke­selamatan pada lif dan eskalator yang didapati diselenggara de­ngan baik dan mematuhi peraturan ditetapkan.