Batangan dipilih sebagai me­dan beraksi yang memberikan cabaran menyeronokkan dengan­ latar kampung, meredah laluan kebun, paya, denai dan kawasan berbukit dalam suasana tengkujuh.

Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu itu ternyata mendapat sambutan di luar jangkaan.

Selain penyertaan dari dalam negara, turut serta sebilangan penggemar sukan ini adalah dari Thailand dan Singapura bagi mere­but kejuaraan dengan ganjaran keseluruhan sebanyak RM12,500 sebagai rangsangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang berkata, para peserta bukan sahaja melalui trek jalan raya sejauh 33 kilometer malah turut diuji kemahiran menunggang apabila merentasi 70 peratus laluan lasak off road.

“Penganjuran kejohanan ini diharap dapat menonjolkan lagi sub sektor sukan dan ekopelancongan, sekali gus memartabatkan aktiviti sukan berbasikal di Terengganu,” katanya ketika menutup kejohanan itu.

A. Latiff berkata, berdasarkan sambutan yang diperlihatkan, Jam­boree Batangan akan dijadikan­ acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

Sebanyak kategori dipertan­dingkan dengan Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi muncul sebagai johan kategori Terbuka Lelaki (17-36 tahun) sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

M. Razali Husin pula menjua­rai kategori Veteran Lelaki manakala Zukri Tahir (Master Lelaki); Nor Azri Firdaus (Junior Lelaki); Mohd. Saifullah Jamal Alias (Fatbike); Supuksorn Nuntana (Kak Cik); Nur Azriyan (Kak Long) dan Mohd. Sabri Mahamudin (Heavyweight).

Sementara itu, salah seorang wakil peserta anak negeri dari Pemanis Cycling Team, Muhamd Rafi Kori, 37, menyifatkan kejohanan ini sebagai yang terbaik pernah dianjurkan Terengganu.

“Berada di laluan sukar seperti trek berlumpur dan kawasan berbukit sememangnya mencabar minda serta fizikal peserta. Tetapi itulah kelainan Jamboree Bata­ngan 2016 ini kerana diadakan dalam musim tengkujuh.

“Program seumpama ini juga dapat mengeratkan hubungan antara peminat basikal lasak dari dalam dan luar negara yang secara tidak langsung memboleh­kan usaha-usa­ha memperke­nalkan pelbagai produk pe­­lancongan khususnya di daerah­ ini,” katanya.