Jambatan yang menelan kos RM242 juta itu akan memberikan kelegaan kepada pengguna terutama penduduk di sini kerana mempunyai satu lagi alternatif setelah kesesakan makin ketara di laluan Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, infrastruktur sepanjang tiga kilometer yang sepatutnya dibuka April lalu membabitkan laluan Losong ke Pulau Sekati dan Teluk Pasu, kini sudah siap sepenuh­nya.

“Insya-Allah sebelum bulan puasa akan dibuka kepada orang ramai kerana pada musim pe­rayaan kesesakan makin ketara, begitu juga semasa cuti umum dan cuti persekolahan kerana ramai yang datang melancong,”ujarnya di sini baru-baru ini.

Bandar raya ini mula berdepan dengan masalah biasa bagi sesebuah bandar raya yang kian membesar seiring dengan kepesatan perkembangan pembangunan dan pertambahan penduduk di dua daerah.

Selain jambatan tersebut satu lagi laluan penghubung sedang dibangunkan ialah jambatan angkat dari pusat bandar raya ke Seberang Takir.

Jabatan Pulau Sekati mula dibina pada tahun 2012 namun te­rencat dan tersasar daripada ja­dual akibat masalah pengambilan balik tanah yang berlarutan.

Namun akhirnya berjaya di­selesaikan dengan baik hasil perundingan dengan penduduk setempat.

Menurut Ahmad Razif, jambatan Pulau Sekati sudah diuji dan semua dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi untuk memboleh­kan pembukaannya.

“Selain itu, kita juga bercadang untuk menyambungkan laluan ini dengan Kuala Terengganu Bypass yang sedang dalam pembinaan, dan dijangka siap 2019,”ujar beliau.

Projek menelan kos RM321 juta itu memendekkan perjalanan ke selatan dan utara melalui pinggir pusat bandar raya ini.