Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengesahkan perkara itu berkata, jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini dan bakal beroperasi sebelum perayaan Aidilfitri.

Beliau memberitahu, dengan pembukaan jambatan ikonik Terengganu itu, ia akan memberi peluang serta alternatif baharu kepada penduduk negeri ini sekali gus mengelak kesesakan yang lazim berlaku di dua laluan iaitu Jambatan Sultan Mahmud dan jalan Manir.

“Buat masa ini ia diuruskan oleh pihak ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) dan selepas dibuka nanti, dalam tempoh sebulan ia kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Kita berharap segala proses berjalan lancar dan dapat disiapkan termasuk persimpangan lampu isyarat serta jalan raya dari mula naik ke jambatan (sebelah muara) sehingga ke lapangan terbang (Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Seberang Takir),” katanya.

Ahmad Samsuri menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menteri Besar seterusnya optimis jambatan tersebut akan mula dibuka kepada orang ramai sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti yang jatuh pada 5 dan 6 Jun nanti.

“KIta harap ia boleh dibuka sebelum raya (Aidilfitri) dan kalau ikut ECER menjelang 30 Mei ini (dibuka), tapi kita akan cuba buat yang terbaik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE