Jagung berwarna putih dan kuning dengan rasa lebih manis ini mempunyai teksturnya yang lebih rapuh kerana kurang fiber serta boleh dimakan mentah manakala harga pasaran dianggarkan 20 peratus lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM150,000 bagi merintis penanaman dan penjenamaannya melibatkan kawasan seluas 39 hektar.

“Projek yang melibatkan 81 petani itu dijangka mampu mengeluarkan jagung jenis baharu ini sehingga 1.56 juta tongkol tahun ini.

“Bagi menjamin mutu dan kualiti jagung dwiwarna itu, Syarikat Green World Genetics Sdn. Bhd. (GWG) telah dipertanggungjawab mengeluar dan membekalkan benih jagung tersebut kepada petani,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Jagung Manis Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Rhu Tapai di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Pertanian Negeri, Mohd. Nasir Warris dan Ketua Pegawai Eksekutif GWG, Chua Kim Aik serta ketua-ketua jabatan terlibat.

Beliau menjangkakan, permin­taan terhadap jagung jenis baharu ini dijangka meningkat kerana sesuai dengan iklim tempatan di samping boleh ditanam selama empat musim setahun, berban­ding tiga musim bagi jenis biasa.

“Ia akan membantu meningkatkan sumber pendapatan sekali gus dapat memacu sektor pertanian selaras dengan transformasi ekonomi negeri yang menjadi fokus kerajaan,” ujarnya.