Malah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar percaya bahawa pihak yang mempunyai perjanjian dan kerjasama dengan EPIC Berhad melihat isu tersebut sebagai satu proses yang betul, adil, telus, cermat dan tidak tergesa-gesa.

“Sekiranya kita melakukan proses yang betul mengikut disiplin korporat sepertimana dilakukan oleh syarikat-syarikat besar, ia akan memberi keyakinan kepada pihak luar.

“Oleh itu, saya percaya dan yakin ia tidak akan melonggarkan hubungan kerjasama antara pihak luar dengan EPIC Berhad dan juga anak syarikatnya,” kata beliau.

Dr. Ahmad Samsuri menyatakan demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis Malam Penghargaan Media Bersama EPIC 2018 di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurut beliau, setakat ini siasatan dalaman masih lagi berjalan dan pengurusan pentadbiran termasuk ahli lembaga pengarahnya masih lagi melibatkan komposisi yang sama.

“Tiada perubahan dan belum ada pelantikan baharu, apa yang sedang dilakukan kini ialah perancangan perniagaan dan strategi memajukan syarikat ini pada 2019,” jelasnya.

Sebelum ini, Dr. Ahmad Samsuri pernah menyatakan siasatan dalaman itu diputuskan oleh ahli lembaga pengarah syarikat yang dianggap proses biasa bagi mana-mana organisasi dan ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.- UTUSAN ONLINE