Program tiga hari itu dianjurkan jabatan Pendidikan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Ngah Bidin berkata, program ini selaras de­ngan agenda memperkasakan transformasi pendidikan sebagai salah satu usaha strategik merealisasikan enam aspirasi kemenjandian murid, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Ia serentak dengan Model Murid Berjaya Generasi Murid Terengganu Baharu (Gen-T) ke arah sekolah bebas dadah,” katanya selepas merasmikan program itu.

Yang turut hadir wakil Maidam, Mohd. Yaakub Abdullah.

Program yang turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rawai dan Jawatankuasa Masjid Rawai itu menyaksikan penglibatan masyarakat dengan menyediakan makanan serta minuman secara bergotong-royong kepada peserta.

Selain itu, peserta berpeluang beramah mesra dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang dalam sesi minum pagi di kediaman pemimpin tersebut di Binjai Rendah, di sini.

Ngah berkata, program ber­kenaan dilaksanakan di masjid antara lain bertujuan mendekatkan peserta dengan institusi itu dan mengimarahkannya.

Katanya, pengisian program memfokuskan kepada aktiviti kerohanian yang menekankan aspek asas fardu ain seperti niat ibadah, praktikal hadas besar, praktikal wuduk dan lain-lain.

“Di samping itu, peserta dibim­bing dengan aktiviti zikrullah sepanjang program,” katanya.