MOHD. SAID IBRAHIM
MOHD. SAID

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, jenayah harta benda mencatatkan 226 kes tahun lalu berbanding 286 kes tahun sebelumnya dan ia menunjukan penurunan sebanyak 60 kes atau 26.5 peratus.

Menurutnya, manakala jenayah kekerasan pula mencatatkan 48 kes pada tahun lalu berbanding 43 kes tahun 2017 dengan penurunan lima kes atau 11.65 peratus.

"Walau bagaimanapun kes kecurian motosikal adalah paling tinggi iaitu 104 kes diikuti 67 kes kecurian serta 49 kes pecah rumah," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Online selepas program Perhimpunan Bulanan Bulan Januari Tahun 2019 di Pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kemaman, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah dan para pegawai kanan.

Menurutnya, bagi kes narkotik pula, tahun 2017 merekodkan tangkapan seramai 1,437 orang termasuk 42 orang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1)(2) ADB 1952 (36 orang), Seksyen 15(1)(A) ADB 1952 (695 orang) dan lain-lain seksyen di bawah ADB 1952 (564 orang).

"Manakala tahun 2018 pula seramai 1,378 telah ditangkap iaitu Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (48 orang), Seksyen 39A(1)(2) ADB 1952 (169 orang), Seksyen 15(1)(A) ADB 1952 (624 orang) dan lain-lain seksyen di bawah ADB 1952 (537 orang)," jelasnya. - UTUSAN ONLINE