Seramai 25 atlet dalam tujuh bidang sukan termasuk basikal, memanah, menembak, judo, pera­hu layar (wing surfing) dan angkat berat di samping atlet para­limpik (olahraga dan ping pong) akan diserapkan dalam program ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia nege­ri, Datuk Rozi Mamat berkata, potensi mereka akan terus digilap dan dirangsangkan agar mereka dapat membawa nama negara dalam temasya Olimpik Tokyo 2020.

“Pada pandangan kita, setelah kejayaan di peringkat kebangsaan, kita sudah masuk melangkah ke fasa kejayaan anak negeri di peringkat antarabangsa khususnya Olimpik,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Karnival Mung Belia Nelang Dan Dialog Tranfromasi Nasional 50 (TN50) di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk’Tengku Putera Tengku Awang.

Utusan Malaysia difahamkan Road To Olympic yang akan digerak­kan dengan kerjasama Maj­lis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai sokongan tambahan persiapan bagi kelayakan mereka melalui pendedahan lebih meluas di kejohanan antarabangsa dan latihan intensif di luar negara.

Sementara itu, karnival berke­naan yang berlangsung selama dua hari mendapat sambu­tan menggalakkan daripada kalangan belia setempat.

Program turut diisi dengan kursus kemahiran keusahawanan belia dan kursus asas pengiklanan facebook di samping taklimat dana usahawan serta pameran jabatan dan agensi.

Rozi memberitahu, karnival kelolaan Majlis Belia Daerah itu akan diperluaskan ke setiap daerah sebagai salah satu pendekatan menjana belia aktif yang dapat menjayakan aspirasi kerajaan dalam membangunkan diri mereka, masyarakat dan negeri.

Menyentuh mengenai Dialog TN50 yang diadakan secara santai, katanya, penglibatan golongan muda cukup berkesan dengan cara itu dan pandangan mereka boleh diterjemahkan bagi pembangunan daerah dan negeri ini untuk masa depan.