Pengerusi Jawatankuasa Komu­nikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, inisiatif itu bagi membolehkan mereka ditampilkan untuk berperanan sebagai ikon dalam bidang pendidikan yang diberikan penekanan oleh kerajaan.

“Seperti kita maklum, asas penubuhan rangkaian Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Te­rengganu bertujuan melahirkan ‘ge­nerasi ulul albab’ dan al­hamdu­lillah hasrat tersebut berjaya direalisasikan tetapi di mana kesemua golongan intelektual huffaz itu?

“Jadi saya lihat dengan adanya program khas ini maka, kita dapat menyebarluaskan kisah kejayaan mereka di samping mentarbiah rakyat dan mendidik golongan remaja ke arah pembentukan nilai serta jati diri sebagaimana yang dituntut oleh agama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Dengan Warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu dan pelancaran rancangan Tokoh Islam Minggu Ini (Tismi) di Auditorium RTM, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Penyiaran Terengganu, Nordin Sulaiman.

Dalam pada itu, Ghazali me­nyambut baik usaha RTM Terengganu mewujudkan program ilmi­ah seperti Tismi di saluran radio Terengganu FM kerana paparan mengenai tokoh-tokoh Islam itu secara tidak langsung dapat dijadikan panduan hidup oleh pendengar.

Katanya, melalui pendekatan kreatif dengan penceritaan yang menarik, dialog dan lakonan berkesan serta muzik latar yang menarik, mampu menjadikan siri program itu popular dalam kala­ngan masyarakat.

Terdahulu, Nordin memberi­tahu, sebagai permulaan seba­nyak tiga episod Tismi sudah di­siarkan sebelum ini dan pihaknya menerima maklum balas positif daripada pendengar termasuk ada yang meminta agar program itu dihimpunkan dalam bentuk cakera padat.

“Harapan kami agar Tismi dapat memberi satu bentuk pendi­dikan kepada pendengar di nege­ri ini,” katanya.