Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, pembinaan hospital baharu bernilai RM125 juta di atas tapak seluas 6.13 hektar itu kini sudah mencapai 80 peratus.

Katanya, dengan kapasiti 110 katil sebanyak 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan; perubatan; pediatrik, obstetrik dan ginekologi; anestesiologi; ortopedik; psikiatri; pergigian dan patologi.

“Setakat ini projek berjalan lancar walaupun sedikit lewat namun, saya harap ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan bagi memberi perkhidmatan tambahan kepada rakyat Dungun dan Hulu Terengganu.

“Hospital baharu dengan peralatan perubatan terkini dan lebih berteknologi tinggi itu juga bakal mengatasi kesesakan di hospital lama, Hospital Kemaman dan HSNZ,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Hospital Dungun yang baharu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak di samping Timbalannya, Ahmad Shah Muhamed; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh dan Pengarah Hospital Dungun, Dr. Farah Najwa Abdul Rahim.

Menurut Boon Chye, Hospital Dungun yang lama dengan kemudahan 100 katil pula akan dikekalkan bagi memberikan perkhidmatan pesakit luar dan wad biasa kepada pesakit.

Dalam perkembangan sama, katanya, Hospital Besut akan turut dinaik taraf sebagai hospital pakar minor iaitu psikiatri, perubatan dan pembedahan.

“Bagi Hospital Kemaman yang baharu di Kijal pula setakat ini masih dalam proses kerja tanah dan (kerja-kerja) itu dijangka siap hujung tahun ini membabitkan kos keseluruhan RM450 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE