Selain menyambung dan mengukuhkan silaturrahim,  ia menjadi ruang kepada mereka untuk turut menyumbang bakti kepada pembangunan sekolah dan juga sebagai katalis yang membantu merangsang ke arah peningkatan kecemerlangan akademik, juga sahsiah pelajar dengan pengalaman masa lalu dan kedudukan mereka sekarang.

Ini yang jelas turut diperlihatkan sekian lama oleh Alumi Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di sini yang menaungi lepasan sekolah sepanjang 42 tahun lalu, dan mereka kembali berkumpul sempena sambutan ulang tahun ke-45 sekolah berprestasi tinggi itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung Alumni SESMA, Mohd Asri Yusof memberitahu, program  Hujung Minggu di SESMA selama tiga hari baru-baru ini dijayakan dengan bekas pelajar kembali ke asrama untuk mengimbau kenangan lalu dan berinteraksi dengan guru serta pelajar di dalam pelbagai acara sukan.

“Juga diadakan sesi motivasi/perkongsian kerjaya bersama pelajar di samping penyerahan sumbangan alumni kepada SESMA dalam program sukan iaitu ‘batting cage’ kriket bernilai RM35,000.

“Kemuncak sambutan ialah Majlis Makan Alumni 2018 yang mengumpul dan menemukan sebahagian daripada bekas pelajar dan guru sepanjang penubuhannya dengan kehadiran 920 orang,”ujar beliau di sini hari ini.

 Yang turut hadir Menteri Besar, Dr. Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga Presiden Alumni SESMA; Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pengkalan Kundor Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh.

 Juga Ketua UMNO bahagian Kuala Nerus,  Apli Yusoff di samping beberapa orang tokoh korporat termasuk Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Roslan Abdullah yang kesemuanya lepasan SESMA di samping pengetua, bekas-bekas pengetua, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SESMA, Datuk Raja Arif Raja Ali  serta guru-guru.

“Ini merupakan himpunan terbesar selepas majlis yang sama pada 2013 namun kerana kekangan saiz dewan hotel menghalang kami daripada menjemput 1,500 alumni pada tahun ini untuk bersama dalam majlis yang turut dimeriahkan dengan persembahan  Wind Orchestra SESMA.

“Malam itu kami berjaya mengumpulkan RM100,000 untuk menyediakan 20 unit penghawa dingin bagi dewan sekolah dan pembelian van serta mengisi tabung kebajikan di samping ikrar untuk sumbangan berjumlah RM100,000 lagi oleh bakal penyumbang,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE