Berlangsung di tapak dianggarkan seluas 20 hektar dalam persekitaran pokok-pokok rhu, program itu disasarkan dapat menghimpunkan 200,000 orang bagi memperlihatkan sokongan padu dan membina momentum kebangkitan baharu parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Program selama dua hari bermula petang ini dengan sidang meja bulat badan bukan kerajaan (NGO), dan acara-acara santai seperti jambori pancuan empat roda, karnival permotoran, persembahan band alernatif, disusuli dengan santai dakwah dan kuliah Maghrib.

Pada sesi malam hari pertama ini pula akan dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib, diikuti makan malam badan bukan kerajaan (NGO) bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ceramah praFastaqim.

Sesi ceramah ini akan dijayakan termasuk oleh Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Ketua Penerangan parti itu, Nasrudin Hassan; Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dan bekas Menteri Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Nasrudin yang juga pengerusi pengelola program itu memberitahu, himpunan besar-besaran ini diadakan bagi menggembleng kekuatan serta memimpin kebangkitan dengan istiqamah yang kukuh, mendepani cabaran pada masa kini.

Menurut beliau, acara kemuncak akan berlangsung malam esok dengan pelancaran jentera pilihan raya dan sukarelawan amal, pengisytiharan tokoh nasional bersama Pas dan pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera. - UTUSAN ONLINE