Pengarah program, Norshazlina Razali berkata, program selama dua hari yang digerakkan oleh kumpulan pelajar Tahun 2 Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran dengan kerjasama Unit Sukan KVK itu juga sebahagian daripada projek tahun akhir mereka.

“Program ini sebahagian daripada projek tahun akhir dan juga untuk memenuhi syarat keperluan kursus yang dipelajari,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian yang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Nazri Razali.

Sebanyak 14 pameran dan demonstrasi berkait dengan bidang pengajian diadakan termasukTeknologi Elektrik, Teknologi Elektronik, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automotif, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

“Juga Teknologi Pembinaan, Seni Kulinari, Pengurusan Perniagaan dan Kesetiausahaan Pentadbiran. Selain itu terdapat juga pameran oleh pelbagai jabatan dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” ujarnya.

Menurutnya, program turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna, aktiviti jualan di samping pemeriksaan kesihatan percuma, senamrobik dan Cabaran Larian KVK  2.0. - UTUSAN ONLINE