Seramai 6,992 peserta mengambil bahagian dalam acara perbarisan sejauh 4.01 kilometer di samping perarakan membabitkan 386 ken­deraan mewakili 16 pasukan.

Kesemua mereka terdiri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung serta pertubuhan bukan kerajaan.

Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat ke majlis itu bersama kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah serta Tengku Sri Temenggung Raja, Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 peringkat negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Terdahulu, perbarisan yang bermula seawal pukul 7.45 pagi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan berakhir di dataran tersebut turut dimeriahkan de­ngan persembahan silat dan ta­rian.

Ahmad Razif dalam ucapannya meminta rakyat negeri ini menghargai erti kemerdekaan kerana tiada apa yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat merdeka dalam suasana aman, damai dan tenteram.

Katanya, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati pada masa ini dikekalkan justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap da­ripada kita untuk mempertahankan amanah itu sampai bila-bila.

“Banyak negara yang mencapai kemerdekaan sezaman de­ngan kita, tetapi tidak ada satu pun yang mencapai tahap kejayaan dan pembangunan seperti mana yang kita kecapi ketika ini.

“Kerana hanya ada satu Malaysia di bumi ini. Satu Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai bangsa, pelbagai budaya, pelbagai agama. Kita berjaya buktikan bahawa di sebalik kepelbagaian, adanya kesatuan, malah kepelbagaian inilah yang menjadi sumber dan tunjang kekuatan sebagai sebuah negara, maka inilah yang kita perlu pertahankan,” katanya.

Sementara pada itu, acara perbarisan mencipta kelainan apabila buat julung-julung kali kategori khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diwujudkan dengan masing-masing menyaksikan 32 penyertaan.

Dalam majlis itu, Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering muncul johan keseluruhan perbarisan sekali gus membawa pulang wang RM5,000 dan piala pusingan manakala ketua perbarisan terbaik dinobatkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Marang.

Bagi kategori pancaragam sekolah, tempat pertama diraih SMK Chung Hwa Wei Sin, pasukan sekolah menengah beruniform (PKBM SMK Seri Nering), swasta/syarikat milik kerajaan/IPT tidak beruniform (Petronas), jabatan kerajaan/badan berkanun/IPT/swasta beruniform (Kesatria Unisza), jabatan kerajaan tidak beruniform (Pejabat Daerah dan Tanah Setiu), badan berkanun tidak beruniform (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) manakala pasukan sekolah menengah tidak beruniform (Asrama Y­a­yasan Terengganu Kemaman).