Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sebagai peneraju di kementerian itu Teresa sepatutnya memikirkan penyelesaian terbaik buat golongan peneroka dan bukan sekadar memberikan pandangan seolah-olah mahu lepas tangan.

"Kerajaan perlu memikirkan mekanisme, saya bersimpati dengan menteri industri yang merupakan anak kota sebab beliau terlalu canggung untuk menjaga portfolio ini bahkan, tidak tahu jerit perih peneroka.

"Sepatutnya beliau kena cepat belajar dan saya nampak beliau tidak boleh membezakan antara susu getah, getah sekerap dan getah SMR (Standard Malaysian Rubber)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Teresa yang mengulas cadangan Dr. Azman berkata, jika harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4 sekilogram berdasarkan pengeluaran pada 2017, kerajaan dijangka memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM2.5 bilion setahun.

Menurutnya, beberapa faktor diambil kira kerajaan untuk tidak mempertimbangkan perkara berkenaan kerana jika harga getah asli dunia me­ngalami trend penurunan mendadak, maka sumber kewangan tinggi diperlukan bagi menyo­kongnya.

Sehubungan itu, Dr. Azman mengesyorkan Teresa agar 'merendahkan diri' untuk turun padang ke kawasan peneroka getah bagi menyelami kesempitan hidup kelompok berkenaan sekali gus berhenti bercakap dalam fantasi.

"Sekiranya tiada tempat yang hendak dituju, saya sedia menawarkan Jabi sebagai tuan rumah bagi lawatan menteri.

"Masih ada dalam kalangan penoreh yang terkial-kial untuk meneruskan kehidupan bagi mendapatkan keperluan asas, saya kenal ramai di antaranya yang tidak mampu membeli sekampit beras sebaliknya dibeli secara kilogram. Jika menteri hendak tunggu harga getah RM2.20 umpamanya, mereka tunggu rakyat sudah berlapar baharu nak beri bantuan," katanya.-UTUSAN ONLINE