Muhamad Amir Zainudin, 24, anak seorang pengawal keselamatan sentiasa mengingatkan diri tentang kepayahan hidup keluarga dengan tidak mensia-siakan peluang sentiasa fokus kepada pembelajaran dan mengukuhkan jati diri bagi memenuhi impian masa depan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab yang ber­asal dari Kuala Terengganu itu merupakan salah seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Ke-10 di sini kelmarin.

Selain Muhamad Amir, Ong Ying Qian, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik yang berasal dari Mentakab Pahang turut menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Canselor Unisza, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Pernah mewakili negara dalam pertandingan debat bahasa Arab peringkat antarabangsa, Muhamad Amir yang menerima ijazah dengan catatan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.81 bersyukur atas pencapaiannya itu dan berazam untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

“Kejayaan yang diperoleh menjadi pembakar sema­ngat untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Saya dedikasikan anugerah yang di­terima buat kedua ibu bapa yang selama ini sanggup be­kerja keras demi menyediakan segala keperluan kami lima beradik.

“Walaupun berasal daripada keluarga yang susah tetapi ia bukan halangan untuk saya mencapai kejayaan dan sete­rusnya mengejar impian satu hari nanti,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu kepada pemberita selepas menerima anugerah itu.

Dia yang juga aktif dalam gerak kerja kesukarelaan kini bertugas sebagai Arabic Content Analyst di Accenture Malaysia, Kuala Lumpur dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah dalam bidang yang sama.

Sementara itu seorang lagi pelajar cemerlang, Ying Qian yang turut aktif dalam sukan dan kesenian menyifatkan kejayaan bukan suatu yang harus dibanggakan tetapi sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.

“Bagi saya ini adalah batu loncatan untuk saya terus berjaya dengan berpegang kepada empat prinsip utama iaitu target, tindakan, tekun dan tabah sepanjang pengajian di sini,” ujarnya yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat PhD di Unisza.

Ying Qian yang kini bertugas sebagai pembantu penyelidik di universiti sama menyimpan impian untuk menjadi seorang pensyarah terbaik agar dapat membantu bakal anak di­diknya mengapai kecemerlangan nanti.